Sunday, January 16, 2011

Saesang106 part 2



Sepanjang hidup bersama Rasulullah saw, Rasulullah saw akan memanggil Anas dengan panggilan manja, Unais atau ada kalanya dengan panggilan Wahai Anakku. Malahan dadanya juga dipenuhi dengan nasihat-nasihat berharga.
"Wahai anakku, jika kamu mampu pada waktu pagi dan petang tidak berdendam dengansesiapa, lakukanlah. Wahai anakku, itu merupakan sunnahku. Maka, Sesiapa yang menghidupkan sunnahku,dia mencintaiku. Sesiapa yang mencintaiku, dia akan bersamaku di syurga. Wahai anakku, jika kamu pulang bertemu keluargamu, berikanlah salam kepada mereka, kerana ia akan membawa keberkatan kepadamu juga keluargamu."


Lebih 80 tahun Anas bMalik hidup selepas kewafatan Rasulullah saw. Dan sepanjang masanya hidup di dunia, beliau telah mengisi dada-dada para sahabat dantabien dengan ilmu yang beliau peroleh dari Rasulullah saw. Fikiran mereka dipenuhkan dengan fiqh nubuwwah, dan dihidupkan juga perasaan sahabat dan tabiien dengan sabda dan keperibadian Rasulullah saw. Anas bin Malik juga menjadi tempat tumpuan bagi merujuk pada hukum-hukum yang kurang pasti atau tidak difahami. Malahan, pandangannya juga dipegang oleh para sahabat dan tabieen.

Anas b Malik hidup dengan memori bersama-sama Rasulullah saw. Beliau gembira apabila kali pertama berjumpa dengan Rasulullah saw dan menitiskan air mata ketika saat-saat kewafatan Rasulullah saw. Anas mencintai apa yang dicintai Rasulullah saw dan membenci apa yang dibenci Rasulullah saw. Malahan Anas sering kali mengulang kata-kata ini:

"Sesungguhnya saya telah melihat wajah Rasulullah saw para hari ketika baginda masuk Madinah dan saya juga melihat Baginda pada hari ketika baginda diambil dapipada kami, Pada saya, tiada hari yang setanding dengan dua hari tersebut. Pada hari Baginda masuk MAdinah, seluruh MAdinah bersinar. Manakala, tatkala hari Baginda menghadap Ilahi, gelap seluruh Madinah."

Betapa sayang dan kasihnya Rasulullah saw kepada Anas b Malik. Baginda beberapa kali pernah mendoakan Anas b Malik dengan doa ini:
"Ya Allah, kurniakanlah kepadanya harta dan anak. Berkatilah dia"

SubhanAllah, di Madinah, Anas b Maik merupakan orang yang paling kaya dan mempunya zuriat yang sangat ramai. Cucunya lebih 100orang dan hidupnya selama 103 tahun, penuh dengan barakah. Dengan ini, Anas b Malik pernah menyatakan hasratnya:
"Sesungguhnya saya berharap dapat bertemu Rasulullah saw pada hari kiamat. Saya akan katakan pada Baginda: 'Wahai Rasulullah saw, ini khadam kecilmu: Unais'"

Ketika Anas b Malik menghembuskan nafas-nafasnya yang terakhir, beliau meminta pada ahli keluarganya untuk mengajarkan kepadanya:
La ilaha illAllah, Muhammadurrasulullah
dan beliau terus melafazkannya sehinggalah beliau meninggal dunia.

Semoga Khadam Kecil Rasulullah saw yang sentiasa mencintai Rasulullah saw, akan berada di samping Rasulullah saw di akhirat kelak sepertimana yang telah dihasratkannya. Dan semoga kita juga bersama-sama dengan Rasulullah saw dan orang-orang yang mencintai Baginda di akhirat nanti. InsyAllah.

Sepertimana yang telah Rasulullah saw mengatakan kepada kita, sesiapa sahaja yang mencintainya, pasti akan bersamanya di dalam syurga nanti. Maka, amalkanlah sunnah Rasulullah saw, dan marilah kita semua mencintai baginda, selepas Allah saw, melebihi dunia dan segala apa yang ada di dalamnya. Kerana tujuan kita bukanlah hanya hidup di dunia, tetapi adalah kehidupan di Akhirat, bersama-sama dengan orang-orang yang kita cintai dan sayangi. InsyAllah....

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...