Saturday, June 25, 2011

Hanya Dia yg tahu

Apabila berbicara perihal rahsia, pasti ia adalah sesuatu yang hanya diketahui oleh diri sendiri, atau orang-orang yg kita percayai. Bukan sesuatu yang berdosa untuk berahsia, tetapi, ia akan menjadi dosa, sekiranya dalam usaha menutup rahsia tersebut, kita berbohong dan berdusta. Namun, bukan itu yang ingin saya kongsikan pada post kali ini, tetapi perihal jiwa dan rahsia. Jika anda menonton cerita-cerita yang berkaitan manusia -manusia, yang mempunyai super power, mesti ada antara mereka yang mempunyai power mendengar isi pemikiran orang lain. Ini adalah seperti suatu kebiasaan bagi manusia yang ingin mengetahui apa yang sedang difikirkan oleh orang lain. Apa perasaan mereka dan adakah mereka ini mempunyai hati yang bersih, atau yang sebaliknya. Wahh... Pasti menakjubkan jika mempunyai orang yang sebegitu. Namu, pasti juga ada hikmahnya mengapa Allah swt menjadikan itu sebagai rahsia antara hambaNya dan PenciptaNya.

Pagi tadi, dengan bersama-sama seorang sahabat, kami duduk sebentar untuk berkongsi-kongsi pengisian, dan kami membincangkan mengenai surah at-tariq.. SubhanAllah, sungguh menakjubkan! Pada awalnya, sekiranya kita hanya membaca terjemahan surah tersebut, sedikit susah untuk kita memahami makna disebalik penyumpaham Allah swt terhadap alam, bintang yang sinarnya menembusi angkasa, sumpahan terhadap penciptaan manusia, hujan yang turun dan juga tumbuh-tumbuhan yang tumbuh... Namun, hakikat surah tersebut dengan jelasnya menyatakan bahawasanya, setiap jiwa yang Allah swt cipta, pasti ada pengawalnya dan pengawasnya. Sepertimana bintang yang cahayanya menembusi angkasa raya,di mana tiada perkara lain lagi yang mampu menembusi kecuali sinaran cahaya bintang tersebut, begitulah jua, Allah swt yang dapat menembusi dan mengetahui isi pemikiran dan jiwa manusia. Lihat ayat 1-4 surah at-tariq.

Perbahasan berpanjangan lagi apabila Allah swt menceritakan perihal kejadian manusia yang datangnya daripada air mani yang memancut. Bagi lelaki, air mani ini dihasilkan dari tulang sulbi yang berdekatan dengan tulang belakang dan area2 berdekatan dengan punggung (betulkan saya jika salah) manakala, air mani yang dihasilkan oleh wanita adalah terletaknya di bahagian tulang dada. Ilmu ini hanya dapat diperoleh dan dicatat oleh sain moden sesudah Al-Quran telah lama diturunkan. Menakjubkan bukan? Dan daripada air mani yang tidak mempunyai apa-apa kuasa dan kekuatan ini, dengan izin dan juga arahan daripada Allah swt, akan melekat di rahim dan proses mitosis akan berlaku. Dimana, kelompok-kelompok sel akan terjadi dan setiap dari kelompok tersebut akan menjadikan kelompok-kelompok sel yang lain dan setiap dari kelompok-kelompok sel tersebut, akan berfungsi untuk menyempurnakan kejadian anggota-anggota badan kita, untuk menjadi seorang manusia yang sempurna. Bagaimana sel-sel itu mengetahui apa yang dia akan buat? Dan macam mana dia mengetahui bahawasanya dia adalah salah satu daripada kelompok sel yang akan menyempurnakan anggota tangan, atau kaki, atau mata? Haaa... Inilah satu perkara yang aneh yang ingin Allah swt tunjukkan kepada kita semua. Bahawasanya, itu semua hanya akan berlaku dibawah perintah, peraturan dan perancangan dari Allah swt. SubhanAllah. Sungguh menkjubkan bukan? Dan kejadian manusia sebelum hidup/lahir, adalah lebih aneh daripada jangka masa manusia yang hidup sehingga mati.

Oleh kerana itu, ayat yang seterusnya, menceritakan kepada kita bahwasanya, sekiranya kejadian yang aneh itu terjadi pada manusia, bukankah ia lebih aneh sekiranya, manusia ini tidak dipertanggungjawabkan? Dan tidakkah ia lebih aneh jika manusia tersebut tidak diuji... Sungguh aneh! Itulah sebabnya, apabila manusia diciptakan oleh Allah swt, setiap jiwa tersebut pasti ada pengawalnya, dan pasti ada yang mengawasinya, kerana jiwa tersebut akan dipertanggungjawabkan perihal apa yang dikerjakannya sewaktu di dunia, dan amalan-amalan mereka akan dibalas dengan setimpalnya. Dan hari tersebut, lebih dikenali sebagai hari pembalasan atau hari pengadilan. Hari tersebut juga merupakan hari dimana jiwa yang dahulunya penuh dengan rahsia -samada yang baik atau yang buruk-akan dibuka! Beruntunglah kita jika yang terlihat itu adalah hal-hal kebaikan, dan yang terlihat itu adalah dalam kalangan jiwa yang bersih. Manakala, rugilah jiwa-jiwa yang kotor, dan penuh dengan tipu daya!

Ini adalah sebahagian dari perkongsian yang kami bincangkan bersama (untuk selanjutnya, korang semua kena baca tafsir fi zilal ye. Tulisan syed qutb =) ), dan sungguh, menggetarkan hati bagaimana Allah swt menceritakan mengenai setiap jiwa yang mempunyai pengawal dan pengawas masing-masing. Allah swt tidak akan pernah meninggalkan hambaNya, yang sudah susah payah diciptakan dengan proses yang aneh, dan peraturan dan perencanaan yang menakjubkan dengan sia-sia. Setiap dari satu jiwa itu akan dibuka rahsianya satu persatu, dan akan diadili. Ingatkah kita, bahawasanya, perihal ikhlas juga terdapat di dalam hati manusia? Dan ya! Ia juga akan diperlihatkan di kalayak ramai. Maka, mari, kita sama-sama, menjaga hati kita. Mencorak jiwa kita, dengan amalan yang hanya akan mentauhidkan Allah swt, amalan-amalan yang hanya akan dilakukan, ikhlas kerana Allah swt. Dan juga amalan -amalan yang hanya mengenal erti cinta kepada Allah swt...insyAllah... Kita sama-sama doakan supaya kita akan berlari lebih laju lagi dalam usaha meraih mardhatillah, dan menjadi antara muttaqin yang dicintai oleh Allah swt dan seluruh penduduk langit dan bumi... Amin =)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...