Ramai yang sangka, Mina itu hanya sekadar tempat mabit dan melempar batu di jamrah. Sedangkan, Mina adalah sebuah tempat latihan mental yang paling berat sepanjang haji.
1) Mina hanya 'hidup' beberapa hari dalam setahun. Di luar musim haji, Mina merupakan tempat yang nyaris kosong. Khemah-khemah putih itu bukan kota tetap, tetapi, kota sementara yang terbesar di dunia, yang hanya dihuni dalam +-5 hari. Setelah itu, ia kembali sunyi. Satu situasi yang mengajarkan bahawa hidup ini juga sementara.
2) Di mina, status sosial hilang, tidak dipandang. Tiada bilik persendirian, tiada katil yang empuk, tiada ruang yang eksklusif. Semuanya tidur beralaskan karpet nipis, bersesak-sesak di dalam kemah, panas dan cukup memenatkan. Di sini, kaya-miskin, raja-rakyat, tua-muda semuanya setara, hadir sebagai hamba.
3) Mina merupakan tempat yang paling sering menguji emosi jemaah. Keadaan tandas yang berkongsi antara negara, panas yang ekstrem, kelelahan, bersempit-sempit dan suara manusia yang ramai.
Ramai jamaah yang diuji ketika di Mina, bukan ketika tawaf. Kerana hakikat ibadah itu, bukanlah satu ritual, namun, sebaik mana kita mengendalikan diri kita.
4) Barang-barang yang dibawa ke Mina, adalah seperti beban kehidupan. Semakin banyak barang yang dibawa, semakin berat langkah kita. Tidak kurang jemaah yang akhirnya membuang barang-barangnya, makanan, beg dsbg. Seperti hidup, yang tidak perlu dibawa, namun tetap dipaksa, ia hanya akan menyeksa.
5) Mina merupakan simulasi akhirat, versi dunia. Berjalan bersama juataan orang, menuju arah yang sama, tujuan yang sama, tanpa tahu siapa di hadapan mahupun di belakang. Yang membezakan bukan pangkat mahupun jawatan, namun, hanya kesabaran dan ketaatan.
6) Mabit di Mina, bukan soal tidur, tetapi hadir. Ramai menyangka, mabit harus tidur. Namun, yang lebih utama adalah kehadiran kita di situ, dan niat untuk taat, walaupun hanya sebentar.
Mina mengajar kita, satu hal yang penting:
Allah tidak memandang senyaman mana kita berada di Mina, namun, Allah melihat kesungguhan kita untuk tetap taat, walaupun dalam keadaan yang tidak nyaman.
